"Masalah adalah peluang untuk anda menyerlahkan kepada diri sendiri bagaimana kebolehan anda menyelesaikan masalah itu" -Allahyarham Datuk Razali Ismail, Wira IPGM-

Guru Pembina Negara Bangsa

>> Friday, May 15, 2009

Tanggal 16 Mei telah tiba, walaupun dicengkam kegawatan ekonomi dan kekusutan politik negara masih menyambut dan meraikan warga pendidik. Sambutan dan ucapan merupakan satu penghargaan yang amat tinggi nilainya bagi seorang insan bergelar cikgu. Menjadi seorang guru bukanlah menjanjikan kekayaan berjuta-juta, menjadi guru bermakna sedia untuk memikul tanggungjawab yang diamanahkan oleh negara dan mengendong harapan ibu bapa.

Saat ini, walaupun hari guru masih disambut dengan meriah dan pelbagai warna. Hakikatnya profesion keguruan dirundung masalah-masalah yang memerlukan penyelesaian dan tindakan segera. Bukan lagi rahsia bahawa guru-guru juga berdepan dengan masalah mental akibat tekanan di tempat kerja. Berita-berita guru disaman dan dimalukan oleh ibu-bapa sentiasa bermain di muka depan tabloid.

Kerjaya guru secara mudahnya boleh dikatakan tidaklah menjanjikan perjalanan yang tenang dan selamat. Lautan bergelora itu sentiasa ada dan tanpa persediaan rapi mudahlah insan ini kecundang sama. Profesion ini telah berubah dengan pesatnya walaupun tugas hakiki seorang guru itu masih mengajar. Guru moden sekarang berhadapan dengan pelbagai permasalahan yang harus ditangani baik dari segi pengurusan mahupun kebejatan sosial yang berlaku dalam kalangan anak murid. Guru sekarang berbeza dengan guru pada 50 tahun dahulu, method merotan murid tidak boleh lagi dilakukan tanpa mengikut prosedur walaupun dengan niat yang ikhlas. Segalanya perlu direkodkan serta mendapat kebenaran Guru Besar. Jauh sekali jika hendak dibandingkan dengan guru di zaman Munsyi Abdullah, dimana papan batu itu beberapa kali pecah di kepala anak murid.

Walaupun berdepan cabaran, penulis yakin bahawa guru-guru Malaysia masih lagi komited menjalankan tugas mereka dalam membina anak bangsa ini. Bumi bertuah ini masih memerlukan generasi muda yang terdidik dan mempunyai kualiti untuk memimpin di masa depan.

Guru sejak dari zaman sebelum Merdeka lagi sudah bergerak demi memastikan kelangsungan bangsa. Mereka antara golongan yang banyak memimpin masyarakat dalam menuntut kemerdekaan dan memajukan diri. Generasi guru sekarang berdepan dengan cabaran dalam bentuk yang berbeza tetapi masih sama intinya. Guru sekarang perlu menjadi katalis atau pemangkin dalam menjana perubahan yang lebih baik. Memang sukar untuk menjadikan perubahan bagi seluruh masyarakat, bagaimanapun perubahan positif kepada kumpulan kecil sahaja sudah cukup bagus.

Negara bangsa yang sudah dibentuk selama hampir 52 tahun ini tidak akan mampu meneruskan kelangsungan hidup sekiranya masalah sosial yang berlaku semakin merebak dan menjadi epidemik. Pembangunan yang meliputi pelbagai aspek juga harus ditekankan dan tidak harus dilupakan akan peranan guru dalam membentuk modal insan yang berkualiti bagi negara tercinta ini.

Guru Pelatih pada hari ini juga sentiasa dipersiapkan dengan pelbagai teori dan pendekatan dalam pengajaran. Akan tiba masanya kepada generasi baru ini untuk menyambung legasi perjuangan yang telah diteroka jauh oleh generasi terdahulu. Walaupun, pada hari ini semua masih merasakan terlalu awal untuk berdepan dengan realiti. Bagaimanapun, adalah lebih elok mempersiapkan diri bagi menghadapi cabaran mendatang. Sikap ego dan negatif haruslah dibuang jauh serta khidmat yang diberikan haruslah diberikan yang terbaik. Ini sebagai cerminan kepada legasi Maktab Perguruan serta penambahbaikan oleh Institut Pendidikan Guru Malaysia. Wawasan dan harapan negara untuk melihat guru menjadi pembina kepada idea negara bangsa haruslah disahut oleh guru pelatih.

SELAMAT HARI GURU

penulis ialah seorang guru pelatih, seorang ahli GPMS, seorang ahli ProWaris Malaysia, seorang ahli BOMC, seorang ahli pengakap KLM 10, seorang manusia pastinya...

0 comments:

About This Blog

Lorem Ipsum

CENTRE OF EXCELLENT

  © Blogger template Palm by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP